

Nadi di Bilik Darjah:
Guru, Harapan Masa Depan Anak Kita

Guru bukan sekadar pendidik, merekalah penggerak perubahan dan pemangkin harapan
Wajah Di Sebalik Dasar

Di sebalik setiap dasar dan pelan strategik yang dirangka dalam Program Anak Kita, sebuah inisiatif pendidikan nasional yang memberi tumpuan kepada penguasaan kemahiran asas, isu keciciran pelajar, dan peningkatan peratusan calon lulus SPM, guru bukan sekadar pelaksana dasar. Mereka adalah jantung kepada kejayaan program ini.
Seorang guru yang berwawasan percaya bahawa murid yang lemah membaca hari ini mampu menjadi pemimpin berwibawa suatu hari nanti. Mereka melihat potensi sebelum ia terserlah, menyuntik semangat ketika murid hampir berputus asa, dan terus membimbing walau langkah masih perlahan. Hubungan ini melangkaui akademik — ia membina keyakinan, harga diri dan masa depan.

Guru sedang membantu murid menyampaikan ucapan di hadapan khalayak sebagai usaha membina keyakinan diri.
Cikgu Che Nurul Fadhilah dari SK Seksyen 24, Selangor, menyifatkan guru sebagai “jantung inisiatif ini,” yang membimbing dengan kasih dan keprihatinan. Cikgu Zaiha Nabiha dari SK Senggarang, Johor pula melihat dirinya sebagai mentor kepada murid tercicir, manakala Cikgu Mohd Zani dari SK Taman Damansara Aliff menekankan pentingnya guru menyesuaikan pendekatan berdasarkan pemerhatian harian.
Program Anak Kita:
Ruang Inovasi dan Sokongan
Program Anak Kita memberi ruang kepada guru untuk berinovasi, merancang strategi pengajaran berfokus, dan mencipta persekitaran pembelajaran bermakna. Cikgu Weltiana dari SK Karakit Banggi, Sabah berkongsi bagaimana latihan dan sokongan berstruktur membina keyakinan untuk menyesuaikan kaedah pengajaran, terutamanya di kawasan pedalaman.
Cikgu Hamidah dari SK Peserai, Johor pula berkata, “Kita bukan lagi dalam zaman ‘chalk and talk’. Murid kini belajar melalui visual, teknologi dan pengalaman.” Program ini membantu guru beralih ke pendekatan lebih inklusif dan relevan dengan keperluan semasa.
Namun, cabaran tetap wujud. Ketidakhadiran murid, jurang penguasaan yang besar, kekangan sumber dan tugasan pentadbiran membebankan guru. Cikgu Weltiana menyatakan ramai murid kehilangan motivasi dan sukar memberi tumpuan. Selain itu, tuntutan kerja berkaitan dokumentasi dan tugasan pentadbiran yang perlu dilaksanakan turut memberi kesan terhadap masa yang sepatutnya diperuntukkan kepada murid yang memerlukan lebih perhatian.
Cikgu Zani berkata, tanpa kesedaran ibu bapa tentang pentingnya kehadiran ke sekolah, usaha guru akan terjejas. Pandangan ini turut dikongsi oleh Cikgu Zaiha dan Puan Hanafisah dari SK Subang Bestari yang menyatakan bahawa ramai murid kurang menerima sokongan moral dari rumah, menjadikan guru sebagai satu-satunya sumber inspirasi utama di sekolah.


Guru bukan sekadar mengajar, tetapi menyalakan semangat untuk belajar.
Pendidikan merupakan tanggungjawab kolektif dan guru tidak menjalankan peranan mereka secara bersendirian. Sebaliknya, mereka adalah sebahagian daripada ekosistem pendidikan yang turut melibatkan ibu bapa, masyarakat, pentadbir, pembuat dasar dan komuniti secara keseluruhan. Melalui Program Anak Kita, pendekatan whole-of-nation ini dilaksanakan secara lebih menyeluruh, memperkukuh peranan guru dan dalam masa yang sama dibantu oleh sokongan berstruktur daripada pelbagai pihak.
Walau berdepan cabaran, mereka tidak pernah patah semangat. “Kuncinya ialah pengurusan masa dan fikiran positif,” kata Cikgu Weltiana. Sokongan emosi daripada komuniti sekolah turut memainkan peranan besar. Apabila adanya ruang untuk refleksi dan sokongan emosi, guru dapat memberi yang terbaik untuk muridnya.”
Sementara itu, Cikgu Liza Rozy dari SK Puchong Utama menyimpulkan, “Mendidik bukan semata-mata menyampaikan fakta, tetapi akhlak. Bila kita menyelami jiwa murid, barulah wujud pendidikan yang menyentuh hati.”



Guru memberi bimbingan secara langsung kepada murid dalam sesi pembelajaran di dalam kelas.
Kita seharusnya bukan hanya menunggu detik ataupun perayaan istimewa seperti Hari Guru untuk menghargai insan bergelar pendidik. Setiap hari, guru-guru berkorban dalam diam—menitiskan peluh, menyalakan semangat, dan meminjamkan harapan buat masa depan yang mungkin belum dapat dibayangkan oleh murid-murid.
Di sebalik setiap murid yang kini mampu membaca, menulis, mengira — atau kembali semula ke sekolah — ada seorang guru yang tidak pernah berhenti mempercayai potensi anak didiknya. Merekalah yang setiap hari memecah ruyung — bukan untuk diri sendiri, tetapi demi masa depan anak bangsa.