Anak Kita, Harapan Merdeka:
Perjuangan Mendidik:
Demi Masa Depan Negara
Merdeka bukan hanya sejarah tentang tanggal 31 Ogos 1957. Ia adalah semangat perjuangan yang diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya – dan kini, perjuangan itu diteruskan dalam bentuk yang berbeza: memastikan setiap anak Malaysia mendapat hak untuk belajar, bermimpi, dan berjaya.
Dilancarkan pada September 2024, Program Anak Kita lahir sebagai respons kepada cabaran yang diam tetapi sangat nyata — keciciran pembelajaran dalam kalangan murid. Dalam negara yang merdeka, tiada anak yang sepatutnya tercicir dari pendidikan. Maka lahirlah satu inisiatif nasional, hasil sinergi antara Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Yayasan Hasanah, Pantau Madani, universiti awam, dan organisasi masyarakat sivil. Ia bukan program kerajaan semata-mata, tetapi gerakan seluruh negara.
Selari dengan semangat Merdeka, Program Anak Kita berdiri atas tiga tonggak utama — Program 3M (Membaca, Menulis dan Mengira), Program SPM dan Cicir Sistem. Tiga medan perjuangan, satu matlamat: membebaskan anak-anak daripada belenggu keciciran dan membantu mereka membina masa depan yang lebih cerah.
Enam bulan sejak program ini bermula, hasilnya sudah mulai dilihat. Bagi Program SPM 2024, lebih 10,000 calon telah menerima intervensi akademik dan 89% berjaya lulus serta layak menerima sijil SPM — peningkatan lebih 20% daripada jangkaan awal. Kisah-kisah luar biasa turut muncul: calon yang sebelum ini gagal, kini meraih gred A, B, dan C dalam subjek teras seperti Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.
Di medan Program 3M, seramai 7,973 murid telah berjaya keluar dari kelas pemulihan — satu pencapaian signifikan hasil gabungan bimbingan guru, pembantu pengajar, teknologi pendidikan, serta modul danalat bantuan mengajar yang direka khas. Sokongan ini disalurkan kepada lebih 4,600 guru dari lebih 1,200 sekolah di seluruh negara.
Sementara itu, Program Cicir Sistem kini memasuki fasa pelaksanaan dengan strategi berfokus — bukan sekadar membawa murid kembali ke sekolah, tetapi memastikan mereka kekal di situ, disokong oleh intervensi yang menyeluruh dan sensitif terhadap realiti hidup masing-masing.
Apa yang menjadikan Program Anak Kita istimewa bukan sekadar skalanya, tetapi pendekatan “whole-of-nation” yang mendasarinya. Setiap guru, kaunselor, universiti, NGO dan pembuat dasar yang terlibat bukan hanya memainkan peranan — mereka berjuang. Ini bukan program bersifat top-down. Ia adalah perjuangan kolektif yang mengiktiraf bahawa tanggungjawab mendidik anak bangsa tidak boleh dipikul oleh satu pihak sahaja.