Program Literasi

Membina Asas, Menjana Harapan:
Program Literasi di Bawah Program Anak Kita
Dalam usaha membina sebuah negara yang maju dan berdaya saing, pendidikan berkualiti menjadi asas yang tidak boleh dikompromi. Namun, realiti yang membimbangkan kini menghantui sistem pendidikan negara — hampir 42% murid berumur 11 tahun di Malaysia tidak mampu membaca teks mudah (World Bank, 2024). Angka ini bukan sekadar statistik, ia adalah panggilan untuk bertindak.
Sebagai langkah strategik, kerajaan melalui sinergi antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan Malaysia melancarkan Program Anak Kita — sebuah inisiatif pendidikan nasional yang berlandaskan pendekatan whole-of-nation. Di bawah program ini, teras utama yang menjadi tunjang pemulihan pendidikan ialah Program Literasi 3M.
Apa itu 3M?
3M merujuk kepada tiga kemahiran asas yang wajib dikuasai oleh setiap murid di peringkat rendah:
Membaca
Menulis
Mengira
Tanpa kemahiran ini, murid akan terus ketinggalan dalam pelajaran dan sukar mengikuti silibus arus perdana. Maka, Program Literasi 3M bukan sahaja bertujuan meningkatkan skor akademik, tetapi juga membuka jalan kepada keadilan pendidikan untuk semua.
Mengapa Literasi Asas
Menjadi Keutamaan?
3M bukan sekadar kemahiran asas — ia adalah kunci pembuka potensi. Tanpa penguasaan membaca, menulis dan mengira, murid akan kehilangan asas untuk memahami subjek lain, sekaligus menjurus kepada keciciran jangka panjang.
Laporan PISA 2022 menunjukkan bahawa skor literasi pelajar Malaysia merosot dari 431 (2018) kepada 404 (2022), dan kini bterada di bawah beberapa negara ASEAN lain. Ditambah pula, impak pandemik COVID-19 yang menyebabkan penutupan sekolah yang panjang turut memperburukkan lagi keadaan.
Data & Pelaksanaan:
Siapa, Di Mana, dan Bagaimana
Program Literasi 3M menyasarkan murid-murid di kelas pemulihan khas Tahun 2 hingga Tahun 6, khususnya di 7 negeri fokus:
Johor, Perak, Selangor, Kelantan, Kedah, Sabah dan Sarawak.
Setakat ini, pelaksanaan program mencatat:
Sekolah
1,288
Sekolah
53,252
Program ini berjalan selama 18 bulan, dengan sokongan daripada universiti awam, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta organisasi pendidikan sebagai rakan pelaksana di lapangan. Manakala, Unit Pantau Madani dan Yayasan Hasanah bertindak sebagai pengurus program.
Di Sebalik Tabir:
Guru sebagai Nadi Literasi
Setiap kejayaan pelajar adalah hasil kecekalan seorang guru. Program 3M hanya akan memberi impak sebenar jika digerakkan oleh guru yang komited dan diperkasa.
Menurut Cikgu Zaiha dari SK Senggarang, guru bukan sekadar penyampai ilmu — mereka adalah pembimbing, pemantau, dan penggerak perubahan. Guru diberikan latihan, sokongan bahan bantu mengajar, serta geran kecil untuk menjayakan pelaksanaan program di peringkat sekolah.
Bagi Cikgu Weltiana dari SK Karakit Banggi, latihan melalui Program Anak Kita membolehkan guru menyesuaikan kaedah pengajaran mengikut keperluan murid. Ini mendorong kepada kelas yang lebih inklusif, berkesan, dan bermakna — walaupun berdepan cabaran seperti kehadiran rendah, motivasi murid yang goyah, dan kekangan sumber.
Menjulang Aspirasi
Negara MADANI
Program Literasi ini sejajar dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan inklusiviti, daya saing dan pembangunan insan. Pendidikan adalah pemangkin utama kepada kemakmuran jangka panjang negara. Malah, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah menegaskan bahawa “pendidikan yang berkualiti adalah asas kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.”
Dengan kerjasama rakan strategik seperti UNESCO, UNICEF, Microsoft dan Google, pelaksanaan program ini menandakan peralihan daripada intervensi bersifat lokal kepada satu gerakan nasional.
YB Fadhlina Sidek turut berkata “fokus akademik dan bimbingan struktur memberi impak dalam meningkatkan prestasi murid– menyerlahkan kepentingan tindakan belajar secara sistematik.”
Anak Kita,
Tanggungjawab Kita
Program Literasi 3M bukan sekadar agenda pendidikan — ia adalah amanah kepada generasi masa hadapan. Ia membawa harapan kepada puluhan ribu murid untuk menguasai kemahiran asas, kembali ke landasan pendidikan, dan membina masa depan yang cerah.
Seperti pepatah Melayu, “melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Jika buluh itu tidak pernah dibentuk, tidak mungkin ia mampu berdiri teguh. Maka inilah masanya kita membentuk rebung bangsa — dengan kasih, usaha, dan iltizam yang bersatu.